Pemenang Utama Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN, Puan Khoo Lee Hah berjaya membawa pulang Mercedez Benz C200 Avantgard.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited dengan misi utamanya menggalakkan ibu bapa membuat simpanan seawal usia anak-anak bagi tujuan pendidikan.

Melalui simpanan itu, ibu bapa dapat mendisiplinkan diri membuat penabungan, sekali gus mengelakkan anak-anak dibebani dengan hutang apabila mereka tamat pengajian kelak.

Menurut Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid, peranan PTPTN dalam memperkasakan budaya penabungan sememangnya telah dimulakan sejak tahun 2004 lagi.

Katanya, komitmen itu diteruskan dalam Teras Pertama Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia.

Jelas beliau, Simpan SSPN Prime merupakan instrumen simpanan tanpa komitmen bulanan yang menawarkan pelbagai keistimewaan seperti perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan maksimum RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.

“Produk Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej yang lebih menarik dan mampu dimiliki oleh masyarakat Malaysia.

“Sudah tentu pelbagai keistimewaan dan manfaat akan dinikmati oleh pendeposit seperti perlindungan manfaat takaful sehingga RM1.2 juta dan perlindungan sehingga pendeposit berumur 69 tahun,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN pada khamis.

Menurut Ahmad Dasuki, dalam usaha menggalakkan amalan penabungan, pelbagai kempen dan promosi terus dipergiatkan termasuk Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN yang buat pertama kalinya layak disertai pendeposit Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

“Ini merupakan kempen tahunan yang sangat memberi impak positif kepada trend simpanan dengan saban tahun pelbagai hadiah lumayan ditawarkan kepada pendeposit bagi menarik minat ibu bapa membuat simpanan.

“Alhamdulillah, sejak cabutan hadiah ini diperkenalkan pada 2015, sambutan diterima oleh masyarakat sangat menggalakkan. Simpan SSPN kini terus gah menjadi simpanan pendidikan untuk pilihan utama ibu bapa bagi perancangan kewangan anak-anak,” katanya.

Pemenang kategori Cabutan Siri Silver 3
Pemenang kategori Cabutan Siri Silver 3 menerima hadiah wang tunai bernilai RM2,525 sempena 25 Tahun PTPTN.

Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN telah berlangsung pada 1 Januari hingga 31 Disember 2022 menerusi tiga kategori iaitu Cabutan Siri Silver 1, 2 dan 3, Cabutan Khas Babyku Simpan dan Cabutan Tahunan Jubli Perak dengan menawarkan pelbagai hadiah lumayan.

Seorang guru dari Pulau Pinang, Khoo Lee Hah telah menerima durian runtuh apabila membawa pulang sebuah kereta Mercedes Benz C200 Avantgard setelah muncul sebagai pemenang utama bagi kategori Cabutan Tahunan Jubli Perak. Pemenang berusia 39 tahun itu, mula menabung dalam Simpan SSPN Plus (Pakej Topaz) sebanyak RM100 sebulan untuk anak beliau sejak tahun 2016.

Manakala Puan Latinah Daluhin berusia 37 tahun berasal dari Sabah pula telah dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua dengan menerima wang tunai berjumlah RM100,000.

Seterusnya, Yip Meng Leong berusia 49 tahun dari Selangor pula memenangi tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000.

Sebanyak 22 pemenang saguhati membawa pulang hadiah sebuah motosikal Honda RS150 dan 25 individu menerima wang berjumlah RM2,525 bagi Cabutan Siri Silver 3 serta 250 pemenang Kategori Cabutan Babyku Simpan menerima wang bernilai RM1,000.

Encik Ng Keat Yung, salah seorang pemenang bagi kategori Khas Babyku Simpan,
Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN.

Sementera itu, Khoo Lee Hah juga sempat ditemubual dan berkongsi kegembiraan memenangi hadiah utama Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN semalam.

“Pada mulanya saya tidak menjangkakan boleh memenangi hadiah utama ini tetapi disahkan sendiri oleh wakil pegawai PTPTN.”

“Saya memilih Simpan SSPN melalui Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus kerana mempunyai dividen yang tinggi.
“Saranan saya kepada ibu bapa di luar sana agar membuat penabungan lebih awal untuk masa depan pendidikan anak-anak,” katanya lagi

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki turut menjelaskan, sejak Simpan SSPN dilancarkan pada 2004, PTPTN terus melakar kejayaan dengan mencatatkan terimaan Simpan SSPN sangat memberangsangkan dan menjangkakan prestasinya terus merekodkan pertumbuhan positif.

“Sehingga 31 Januari lalu, jumlah keseluruhan deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM14.38 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 5.79 juta.

“Pencapaian ini membuktikan Simpan SSPN berada pada landasan tepat sebagai produk simpanan berdaya saing, setanding dengan produk simpanan lain di pasaran. Terima kasih kepada semua pendeposit setia yang menyokong Simpan SSPN selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada syarikat pengendali takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad.

“Terima kasih juga kepada Mercedes Benz Cycle & Carriage Bintang Berhad, Petaling Jaya kerana sudi bekerjasama dalam menjayakan majlis yang penuh bermakna ini.

“Juga kepada semua pelanggan yang setia bersama PTPTN yang membuat penabungan melalui Simpan SSPN untuk pendidikan tinggi anak-anak, terima kasih,” ujarnya.

Katanya, hasil sokongan pendeposit, Simpan SSPN terus gah sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.

Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori Cabutan Tahunan Jubli Perak.

Beliau turut menyeru ibu bapa menjadikan Simpan SSPN sebagai tabung pendidikan anak-anak dalam memastikan peluang kejayaan dan jaminan masa depan yang cerah untuk mereka.

Ahmad Dasuki juga yakin apa yang dilaksanakan oleh PTPTN adalah seiring dengan keperluan masa depan anak-anak. – MalaysiaGazette