Sin Poo Kiong

PORT DICKSON – Polis sedang mengesan dua saksi utama kes kematian seorang lelaki yang disyaki ditikam dengan objek tajam di hadapan Medan Selera Cina, Pekan Lukut, di sini awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Muhamad Mustafah Hussin berkata, mereka terdiri daripada Sin Poo Kiong (lelaki), 40, dengan alamat terakhir di Bandar Baru Permas Jaya, Masai, Johor, dan Leong Kar Yan (wanita), 34, alamat terakhir di Taman Johor Jaya, Johor.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kita sedang mengesan dua saksi utama ini yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan. Kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan saksi utama kejadian ini supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson atau Pegawai Penyiasat, ASP Muhammad Azril Ahmad Rapiee di 012-7791224.

Media sebelum ini melaporkan polis menerima aduan daripada orang awam berkenaan seorang lelaki maut dipercayai ditikam menggunakan objek tajam dalam kejadian di Hadapan Medan Selera Cina Pekan Lukut, di sini pada 1 Mac lepas. – Bernama