KUANTAN – Dua ekor gajah denak, Abot dan Rambai berjaya memujuk gajah jantan liar yang ditemui sesat untuk dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai dan selamat di sini petang semalam.
Difahamkan Abot dan Rambai yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah sejak Selasa lalu bagi ‘memujuk’ gajah yang ditemukan dalam belukar berhampiran Taman Perumahan Pandan Damai di sini baru-baru ini.
Proses membawa keluar gajah seberat lebih dua tan itu dilakukan pukul 2.30 petang mengambil masa dua jam setengah.
Menerusi kenyataan dari Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), gajah tersebut berada dalam keadaan sihat sepanjang operasi pemindahan dan dalam pemantauan pegawai veterinar.
“Gajah liar itu ditangkap Unit Tangkapan Gajah (UTG) pada Isnin lalu selepas menerima aduan penduduk berhubung kehadiran haiwan itu dalam kawasan hutan kecil berhampiran taman perumahan tersebut.
“Operasi translokasi gajah ini telah melibatkan kira-kira 25 orang kakitangan daripada Jabatan PERHILITAN Negeri Pahang, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.
BACA: Anak gajah pula sesat di Kuantan
Operasi pada petang semalam berjalan lancar dan haiwan itu akan dilepaskan ke hutan semula.
Sebelum itu, Hutan Simpan Cerul, Kemaman sebagai habitat semula jadi sebelum tersesat hingga ke kawasan Bukit Rangin selepas terpisah dari kawasannya. – MalaysiaGazette