Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Gerakan Rakyat, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bijak kerana mencadangkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan sebagai cagaran jika membuat pinjaman bank.

Beliau berkata, pengeluaran wang simpanan KWSP adalah hak ahli dana awam itu bukan kerajaan.

“Jika ahli KWSP menggunakan wang simpanan mereka untuk membayar pinjaman bank, ahli KWSP juga perlu membayar kadar faedah yang ditetapkan oleh bank. Ini boleh diumpama sama seperti membuat pinjaman bersama ceti haram.

“Kenapa jadikan wang simpanan KWSP sebagai cagaran? Itu hak rakyat bukan duit kerajaan atau bank.

“Pelaksanaan ini akan lagi membebankan rakyat kerana terpaksa bayar bunga atau kadar faedah. Ini bukan membantu tapi menyusahkan dan menambah hutang rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dominic mencadangkan, daripada menggunakan wang simpanan KWSP sebagai cagaran pinjaman bank, KWSP boleh melancarkan skim pinjaman khas untuk ahli bagi menyelesaikan masalah kewangan.

“KWSP juga mempunyai inisiatif untuk memberi pinjaman kepada pencarum KWSP dan mengenakan kadar faedah yang rendah kepada mereka.

“Jika membuat pinjaman daripada bank, ia akan memberi lebih masalah kepada ahli KWSP kerana terpaksa membayar kadar faedah yang tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, KWSP dapat memberi faedah kepada pencarum dalam bentuk dividen termasuk kepada ahli yang membuat pinjaman.

“Dengan cara ini, wang simpanan pencarum KWSP tidak akan terjejas kerana pinjaman perlu dibayar balik dan KWSP boleh memanfaatkan faedah yang diperoleh daripada pencarum KWSP melalui dividen tahunan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast