senjata
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Nasib syarikat yang dianggap gagal menyiapkan projek Sisten Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) mengikut tempoh masa yang ditetapkan kerajaan itu bakal diketahui menjelang April ini.

Menteri Dalam Negeri hari ini telah mengesahkan  isu projek sakit NIISe yan melibatkan kos lebih RM1 bilion di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah ditawarkan kontrak kepada Syarikat IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rentetan daripada perbincangan itu, Kabinet telah mengarahkan kementeriannya untuk menyediakan dan mengemukakan satu memo Jemaah Menteri yang memerlukan keputusan hala tuju tentang projek berkenaan.

KDN sedang dalam perbincangan menguruskan perkara tersebut seperti yang dikehendaki oleh Kabinet, katanya.

“Belum lagi (untuk batalkan kontrak syarikat), benar mesyuarat Kabinet ada membincangkan kertas saya angkat untuk tujuan perbincangan (projek NIISe) iaitu kertas bernama nota Jemaah Menteri yang bermaksud hanya bersifat pemakluman bukan hanya memo.

“Jika memo Jemaah Menteri itu hanya memerlukan keputusan dasar. Jadi setelah saya membentangkan adalah nota Jemaah Menteri berupa satu laporan tentang progres semasa projek itu.

“Projek itu sudah sudah hampir dua tahun berjalan, sebab mula diberi kontrak adalah Mac 2021 dan mereka kena siapkan pada Ogos 2025 tetapi pada setakat Mac 2023, mereka sebenarnya belum dapat mencapai tahap progres kemajuan projek yang sepatutnya mereka capai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-29 dan ke-30 Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan terbaharu mengenai NIISe, Saifuddin sebagai menteri bertanggungjawab melaporkan kepada Jemaah Menteri kerana projek berkenaan menelan perbelanjaan hampir RM1.2 bilion.

Katanya lagi, KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia sangat mengharapkan kejayaan projek tersebut untuk menggantikan sistem sedia ada yang sudah berusia 20 tahun.

“Lagi pun, sebagai menteri bertanggungjawab saya terpaksa protect the interest of the users yang akhirnya menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat yang sepatutnya bermanfaat.

“Jadi saya telah membentangkan status semasa projek (NIISe) ini dan daripada situ, Kabinet kemudian mengarahkan supaya KDN membuat satu syor apakah status projek ini untuk dicadangkan.

“Kami ada tempoh sehingga April ini untuk mengemukakan memo Jemaah Menteri yang diarahkan dalam Kabinet yang akan menentukan keputusan hala tuju tentang projek berkenaan selepas ini dan buat masa ini saya dan kementerian sedang menguruskan perkara ini,” ujarnya.

Diminta mengulas sama ada memo Jemaah Menteri yang akan disediakan itu berkemungkinan ke arah tindakan untuk membatalkan kontrak syarikat berkaitan, Saifuddin bagaimanapun mengambil pendirian untuk tidak mahu membuat sebarang spekulasi terlebih dahulu.

Tegasnya, perkara berkaitan penelitian mengenai projek yang berskala besar seperti NIISe tentunya mempunyai parameternya sebelum keputusan sama ada hendak meneruskan atau pembatalan dibuat.

“Nak sebut batal atau terus..mudah tapi dia mesti ada asasnya dan asas itu mesti berpaksikan kepada apakah kayu ukurnya. Satu indikator yang mana satu projek bersaiz besar begitu dia ada tempoh tahun pertama, kedua dan ketiga progres yang dicapainya.

“Kita nak teliti juga punca kelewatan sama ada disebabkan tenaga kerja atau kekangan modal jadi hal ini perlu diteliti kementerian sebelum kami menentukan hala tujunya dalam bentuk keputusan Jemaah Menteri,” katanya lagi.

Sebelum ini sumber Jemaah Menteri memaklumkan mesyuarat Kabinet telah membuat keputusan untuk membatalkan kontrak yang diberikan kepada syarikat yang mengendalikan projek NIISe yang menelan kos bernilai lebih RM1 bilion.

Kelewatan dalam menyiapkan projek itu dikatakan punca keputusan itu diambil oleh Kabinet pada Rabu lalu.

Untuk projek NIISE, mengikut tempoh kontrak asalnya ia akan beroperasi sepenuhnya pada 2024.

Kontrak Projek NIISE melibatkan di antara Kerajaan dengan syarikat IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd.

NIISE dilaksanakan bagi menggantikan sistem myIMMs di Jabatan Imigresen Malaysia yang sudah beroperasi lebih 20 tahun lalu. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kabinet batalkan kontrak IRIS Technologies kendalikan projek NIISE