Raziah bersama suaminya Maskuri yang juga penghidap angin ahmar pilu melihat kediaman mereka yang masih digenangi air lebih-lebih lagi dalam umat Islam bakal menyambut Ramadan tidak lama lagi.

SEGAMAT – Sambutan Ramadan kepada mangsa banjir di sini agak suram selepas kejadian banjir melanda rumah mereka baru-baru ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Kampung Jawa Lenga di sini mendapati keadaan banjir di sesetengah kawasan sudah mulai surut dan sesetengah mereka telah pulang ke kediaman mereka untuk mengemas rumah masing-masing.

Namun masih banyak perkara perlu diuruskan selain mengalami kerugian harta benda.

Raziah Siron, 55, antara penduduk yang terkesan akibat banjir namun masih menyimpan teruja mahu menyambut Ramadan di kediamannya.

Raziah Siron

Wwalaupun sedih melihatkan keadaan kelengkapan rumah yang hampir semuanya musnah, namun harapannya mahu menyambut bulan puasa bersama suami dan sembilan anak-anaknya.

Lebih memilukan, suaminya Maskuri Abdul Hamid, 64, baru sahaja diserang angin ahmar dan lumpuh separuh badan sejak dua bulan lalu.

Keadaan itu menyukarkan beliau untuk menguruskan rumah lebih-lebih lagi dalam menghadapi Ramadhan yang kurang seminggu.

“Sedih lagi satu bagaimana kita nak sambut puasa dengan keadaan rumah yang kotor dan nak bersihkan rumah lagi dengan suami tidak sihat dengan saya kerja seorang. Anak-anak jauh.

“Kena banyak sabarlah. Waktu itu saya sudah siap kemas sebab ramai kata nak berlaku banjir. Macam tahun lepas, paras dada tetapi kali ini setinggi dua jengkal atas kepala,” katanya.

Bagi pesara kerajaan, Zupiah Yacob, 62, walaupun kedatangan Ramadan kali ini akan disambut sederhana, beliau tetap mengharapkan ada sinar untuk mangsa banjir di Johor.

Zupiah Yacob

Apa yang diharapkan, keadaan cuaca akan menjadi lebih baik berbanding hari sebelumnya untuk memberi peluang mereka pulang ke rumah menyambut bulan puasa bersama keluarga.

Walaupun keadaan cuaca dilihat semakin elok namun perasaan bimbang tetap dirasai memandangkan bencana itu ‘datang tanpa diundang’.

Jelas beliau, walaupun hiba melihat barang keperluan rosak namun tetap mengharapkan impiannya mahu berkumpul bersama keluarga pada awal Ramadan terlaksana.

“Mak cik risau tengok keadaan ini tetapi rasa reda dengan ketentuan tuhan beri pada kita. Ini semua dugaan kita sebelum berpuasa. Terimalah apa yang Allah beri pada kita.

“Kita cuba usaha sedikit demi sedikit. Walaupun apa yang berlaku kita kena hadapi.Nak marahkan siapa? Semua orang satu kampung kenakan.

“Mak cik sebenarnya baru dua tahun maknanya ini kali kedua kami kena,” jelasnya.

Khairuddin Mohamed, 64, juga mengharapkan agar keadaan cuaca terus baik bagi membolehkan penduduk pulang ke rumah pada Ramadan akan datang tidak lama lagi.

Khairuddin Mohamed

“Bagi saya, memang kami risau lebih-lebih nak bulan puasa ini sebab ambil masa yang lama dengan barang keperluan rosak.

“Jadi untuk hadapi puasa nanti tak tahu nak beritahu bagaimana. Hadapi sahajalah. Banyakan barang semua sudah rosakan jadi bagaimana kita nak hadapi puasa ini nanti.

“Jadi kita terpaksa redalah nak buat macam mana,” katanya.

Dalam masa sama besar harapan Khairuddin supaya kerajaan dapat menambah bantuan daripada segi kewangan memandangkan mereka menampung kerosakan yang dialami.

Menurut seorang lagi penduduk, Hayati Jelani,54, beliau juga tidak sabar untuk pulang ke rumahnya yang sudah ditinggalkan lebih dari seminggu.

Hayati Jelani

Selama tempoh berkenaan sudah pasti rumahnya dipenuhi kotoran dengan pelbagai sampah sarap yang dibawa arus banjir.

“Rindu nak pulang rumah tapi apakan daya. Cuma saya betul-betul mengharapkan cuaca baik sampai Ramadan. Kalau boleh, saya pun sama seperti ibu-ibu dan isteri lain ingin pulang ke rumah sambut puasa.

“Kalau lihat keadaan untuk kemas rumah, bersihkan rumah ambil masa lebih seminggu.Jadi puasa kali ini saya buat mana yang mampu. Asalkan boleh pulang ke rumah,” katanya.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar kampung berkenaan juga mendapati ada penduduk mula pulang ke rumah untuk melihat barang keperluan yang rosak. – MalaysiaGazette