KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Noraini Ahmad bersaing sengit jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO dalam pemilihan hari ini.
Dr Muhamad Akmal Saleh dan Nurul Amal Mohd Fauzi – masing-masing mendahului keputusan rasmi jawatan ketua sayap pergerakan UMNO.
Sehingga pukul 6 petang tadi, Sharizat dan Noraini yang merupakan mantan dan penyandang jawatan itu masing-masing mendapat tiga undi.
Muhamad Akmal yang bertanding Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mendapat lima undi meninggalkan pencabarnya, Datuk Mohd Shahar Abdullah (4), Datuk Armand Azha Abu Hanifah (0) dan Meor Hassan Mat Ali (0).
Sementara Nurul Amal yang bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO mendapat 19 undi berbanding pencabar lain Datuk Khaidhirah Abu Zahar (10), Dr Masliha Harun (5), Fadwah Anuwar (1) dan Nurul Hazwani Haslan (0),
Bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO, penyandang jawatan itu, Datuk Seri Norliza Abdul Karim dan Ketua Penerangan Wanita UMNO merangkap Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Rosni Zahari masing-masing mendapat tiga undi.
Sementara itu,, jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO, anak kepada seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham mendahului dengan mendapat enam undi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor Mohd Hairi Mad Shah (2), anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib dan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Farhan Khairuddin masing-masing mendapat satu undi.
Manakala jawatan Naib Ketua Puteri UMNO, Siti Sokhleha Nordin mendahului dengan 19 undi, Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing, Rina Farhana Abdullah (10) dan Setiausaha Puteri UMNO, Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani (7).-MalaysiaGazette