Tan Sri Shahrir Abdul Samad UMNO party
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) belum menerima bantahan daripada UMNO Bahagian Titiwangsa ekoran kekecohan yang berlaku semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, jika tidak ada bantahan sehingga Selasa depan, maka pihak yang menimbulkan kekecohan itu akan dipanggil oleh parti.

“Kalau kita (JPU) tidak menerima apa-apa bantahan (daripada UMNO Titiwangsa) sehinga Selasa, kita ambil tindakan terhadap pihak yang ambil video itu dan viralkan.

“Sebab ini bukan perkara yang kita galakkan kerana ini menimbulkan pelbagai spekulasim jadi pihak yang bertanggungjawab menyebarkan video berkenaan akan berdepan tindakan disiplin.

“Itu satu kelakuan yang tidak diterima oleh parti kerana berhadapan dengan pemilihan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini, sebentar tadi.

Shahrir diminta mengulas mengenai video viral semalam yang mendakwa berlaku kekecohan dan bantahan dalam Pemilihan Jawatankausa Pemuda UMNO Titiwangsa sehingga proses pengundian bahagian itu terpaksa digantung.

Semalam, tular lima klip video yang memaparkan dua individu iaitu Pengerusi Pemilihan JPU Titiwangsa, Zaharah Adnan dan timbalannya, Datuk Shamsul Bahari didakwa mencuri kertas undi.

Ia berdasarkan klip video berkenaan yang kelihatan Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin bersama kumpulannya memasuki dewan pengundian bagi mendapatkan penjelasan.

Jelas Shahrir, apabila tindakan itu dibuat, ia menimbulkan pelbagai spekulasi terhadap pemilihan parti.

“Apabila dibuat sedemikian, spekulasi mengatakan ianya ditangguhkan, digantung dan sebagaimana sedangkan video itu tidak datang dengan penjelasan yang tepat.

“Ianya hanya merakam situasi pada ketika itu di mana boleh menimbulkan dan menjejaskan nama baik UMNO itu sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette