Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung ugutan jenayah terhadap kumpulan muzik dari Indonesia, Radja, di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini, petang tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki tempatan yang berusia 37 tahun dan lelaki warga asing berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira 3.30 petang.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.

“Polis Johor menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berikutan siasatan masih dijalankan,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Azlinda Mohd Khalid di talian 017-2765250.

Terdahulu, media melaporkan kumpulan itu mendakwa menerima ancaman bunuh serta dilemparkan kata-kata kesat selepas mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini, kira-kira 11.15 malam semalam, dipercayai berpunca daripada salah faham antara kumpulan berkenaan dengan pihak penganjur. – Bernama