Muhyiddin PRN
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat gimik perasmian Perhimpunan Agung Tahunan kali yang ke lima tahun 2022 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah dikatakan akan menjadi medan penolakan besar-besaran orang Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, kedua-dua parti itu telah mensia-siakan mandat rakyat serta gagal membela mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli-ahli Bersatu agar tidak lemah semangat kerana mereka sedang menuju ke medan perang yang mana kemenangan menanti.

“Kita mungkin terpaksa bergolok bergadai untuk menghadapi pilihan raya.

“Mereka pula pastinya akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk menindas kita dengan rakus,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Bersatu 2022 di Dewan Wawasan, Menara PGRM, di sini, hari ini.

PRN di enam negeri berkenaan dijangka berlangsung pertengahan tahun ini dengan menyaksikan pertembungan antara PN dengan gabungan BN dan PH.

Muhyiddin juga percaya lebih ramai pengundi Melayu dan bumiputera beralih menyokong Perikatan Nasional (PN) setelah UMNO memilih untuk bersama DAP dan PH dalam kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berasa hairan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar pencarum memohon pinjaman bank dengan mencagarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Beliau turut menyifatkan cadangan tersebut tidak masuk akal memandangkan kebanyakan individu yang memohon pengeluaran KWSP adalah dari golongan susah.

“Jika mereka tidak mampu membayar hutang, wang KWSP mereka juga akan lesap beserta tanggungan faedah yang akan dikenakan oleh bank.

“Bukankah ini akan semakin membebankan rakyat yang susah?” soalnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.