KUALA LUMPUR – Pelakon, Uqasha Senrose mendakwa cemburu mungkin menjadi motif seorang lelaki difahamkan warga Singapura menyerang suaminya, Kamal Adli.
Kamal diserang menggunakan chota sehingga mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan harus ditidurkan.
Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen memberitahu, penyerang sempat menjerit dia cemburukan pelakon berusia 37 tahun itu kerana berkahwin dengan Kamal.
Lebih menakutkan, Uqasha turut berkongsi tangkap layar paparan mesej dikirimkan seseorang yang mengugut untuk membunuh suaminya.
“Hey! Pesan sama Kamal Adli anjing. Aku mesti bunuh dia. Aku mesti seksa dia habis-habisan okey. Semua anjing keparat,” tulis mesej ugutan tersebut yang dikongsikan Uqasha.
Pada masa sama, Uqasha, 30, turut meminta orang ramai supaya tidak meninggalkan mesej yang boleh mengganggu emosinya berkaitan serangan yang menyebabkan suaminya mengalami kecederaan parah di kepala.
Uqasha menambah, sebagai seorang isteri, dia trauma atas apa yang berlaku lebih-lebih lagi kejadian tersebut terjadi di depan matanya.
Terdahulu, Uqasha memuat naik video pendek dalam Instagram memaparkan dirinya sedang menangis di hospital berkongsi keadaan terkini dan memohon doa daripada orang ramai buat suaminya.
Kamal juga terpaksa ditidurkan bagi menjalani satu pembedahan major pada kepada selepas diserang seorang individu tidak dikenali ketika berada di sebuah acara jualan di Singapura.
Difahamkan Uqasha dan Kamal masih berada di Kota Singa itu untuk rawatan dan siasatan polis sebelum dibenarkan pulang ke Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: