Kamal Adli dipukul lelaki tak dikenalinya di Singapura semalam.- Gambar media sosial

KUALA LUMPUR – Pelakon, Kamal Adli cedera teruk di kepala selepas dipukul seorang lelaki yang tidak dikenalinya di sebuah acara di Singapura.

Pelakon Uqasha Senrose melalui Instagramnya memaklumkan, suaminya yang cedera teruk di bahagian kepala dikejarkan ke hospital dan perlu ditidurkan sebelum dibedah.

Uqasha mendakwa, kejadian itu berlaku antara pukul 9 hingga 10 malam tadi semasa mereka hendak meninggalkan acara, melayan permintaan seorang wanita berkerusi roda yang mahu merakamkan foto.

“Saya dan Kamal bergambar dengan mak cik itu. Tiba-tiba, datang seorang lelaki dan bertanya, Kamal mana? Kami fikir dia peminat.

“Kamal kemudian tegur lelaki itu. Tiba-tiba lelaki itu keluarkan cota dari poket dan pukul belakang kepala Kamal berkali-kali.

“Darah Kamal berjurai di baju. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul tulang pipi. Lelaki itu kemudian pukul berkali-kali pada badan Kamal,” dakwanya lapor BH Online.

Insiden menimpa pasangan itu kecoh apabila Uqasha memuat naik video pendek di Instagram (IG) antara lain memaparkan dirinya sedang menangis.

Uqasha berkongsi kapsyen memohon doa orang ramai untuk Kamal yang didakwa dipukul dengan cota berkali-kali hingga perlu menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

Berkongsi lanjut, mengenai keadaan Kamal, Uqasha sedih Kamal perlu ditidurkan sebelum pembedahan.

“Saya tidak boleh masuk bilik pembedahan sekarang. Cuma, saya boleh buat laporan polis di Singapura,” katanya.

Uqasha juga mendakwa, adik-beradiknya yang bersama ketika insiden itu juga diugut individu terbabit yang dipercayai sudah ditahan pihak berkuasa republik berkenaan. – MalaysiaGazette