Pelakon, Hafidz Roshdi tiba di mahkamah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan selepas menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2023.

HULU SELANGOR – Pelakon, Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mencederakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri di mahkamah hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Hafidz didakwa bertindak menumbuk pipi kiri Nurul Shuhada sebanyak tiga kali sehingga luka dan bengkak berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya dekat sini.

Ketika prosiding hari ini, peguam yang mewakili tertuduh memohon supaya situasi yang sedang dihadapi anak guam diambilkira terlebih dahulu sebelum menetapkan kadar jaminan tinggi.

Hujah peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader, pihaknya memohon supaya kadar ikat jamin dikurangkan daripada RM10,000 kepada RM5,000 dengan alasan mempunyai tanggungan selain sudah kehilangan pendapatan akibat kes kontroversi berkenaan.

“Anak guam saya juga mengidap gangguan bipolar tetapi bukanlah masalah mental yang serius seperti masalah skizofrenia,” katanya di hadapan Hakim Majistret, Siti Fatimah Talib hari ini.

Terdahulu pendakwaan telah memohon supaya menawarkan ikat jamin RM10,000 dikenakan terhadap Hafidz selaku Orang Kena Tuduh (OKT) dengan beberapa syarat tambahan.

Antaranya penjamin perlu memastikan OKT menjalani rawatan psikiatri selain tidak mengganggu mangsa secara terus atau melalui ejen dengan apa cara sekali pun.

Pasport tertuduh juga perlu diserahkan kepada pihak mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.

Hakim kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan pada 28 Mac ini bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan.

Ketika ini Hafidz berdepan dakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Ianya juga dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntuk hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323 tersebut.

Pada minggu lepas kecoh apabila media melaporkan pelakon itu dipercayai menumbuk isterinya di R&R Sungai Buloh ditahan polis, bagi membantu siasatan kes itu.

Dia ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

Ketika kejadian mangsa bersama suaminya berada di dalam kereta di R&R di sekitar Sungai Buloh.

Isterinya turut memuat naik gambar kecederaan muka di media sosial sebelum keluarga mengesahkan wanita itu ditumbuk tiga kali oleh Hafidz selepas berlaku pertengkaran.

Pelakon terbabit berdepan kontroversi apabila kisah rumah tangga mereka menjadi perbualan hangat ekoran dakwaan curang.

Pelakon itu kemudian menceraikan isterinya dengan talak satu pada 23 Februari lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hafidz mengaku tak bersalah cederakan isteri