Penerima-penerima anugerah bergambar pada Majlis Business Entrepreneurship Awards 2023 (KBEA 2023) baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Business Entrepreneurship Awards 2023 (KBEA 2023) berjaya mengangkat taraf dan imej usahawan dalam memajukan lagi perniagaan khususnya untuk anak Kelantan.

Pengerusinya, Shahir Adnan berkata, majlis yang berlangsung buat kali kedua itu juga bertujuan untuk menyokong dan memberi pengiktirafan kepada usahawan Kelantan yang berjaya di dalam industri masing-masing.

“Pemilihan penerima anugerah dijalankan melalui saringan yang telus oleh rakan strategik kami, Universiti Malaysia Kelantan.

“Berbekalkan kekuatan, usaha dan kebijaksanaan menguruskan perniagaan, pihak KBEA 2023 bersetuju untuk menganugerahkan Anugerah Perniagaan Keusahawan Kelantan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 128 jumlah pencalonan, namun berdasarkan penilaian yang dibuat Jawatankuasa KBEA, seramai 30 penerima layak menerima anugerah itu.

Katanya, bertemakan ‘Ayuh kami raikan kehebatan anda’ penganjuran majis berkenaan membuktikan bahawa sektor perniagaan dan keusahawanan anak Kelantan tetap berkembang maju.

“Pihak KBEA menzahirkan ucapan syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan dalam memberi dorongan dan dalam memberi sokongan yang berterusan.

“Khususnya Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad,” katanya.

Selain itu, Sharir berkata, penganjur KBEA, Media Home dan pemenang anugerah KBEA 2023 turut berkongsi rezeki bersama Pusat Jagaan Kesayangan Mumtahanah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEKAYATIM).

“Kedua-dua pertubuhan ini menyediakan pendidikan dalam bentuk Tahfiz al-Quran, penjagaan anak-anak yatim, dan membantu mempersiapkan anak-anak untuk masa depan,” tambahnya. – MalaysiaGazette