Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan kenapa kerajaan masih tidak berusaha menunaikan cadangannya sebelum ini yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan bawah  kuasa Parlimen.

Katanya, sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang, mereka hebat mendesak kerajaan ketika itu supaya Parlimen mengambil alih fungsi agensi penguat kuasa itu.

“Kita tahu SPRM telah menjalankan kerjanya dengan hebat dan dahsyat sekali tetapi saya minta supaya agensi ini jadi badan bebas dan diletakkan bawah Parlimen.

“Ini bukan permintaan kami, ini daripada PH (dahulu). Melaungkan kita mahu (SPRM) duduk bawah Parlimen. Sekarang sudah jadi kerajaan, buatlah. Kenapa SPRM tidak diletakkan bawah Parlimen?

“Kalau duduk bawah Parlimen, sudah pasti ia tidak terikat dengan mana-mana pihak. Sekarang ini pun tidak terikat, tapi orang nampak macam terikat kerana ia duduk bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Kata Shahidan, kalau SPRM diletakkan bawah Parlimen, ahli-ahli Parlimen boleh sama-sama mentadbir SPRM supaya menjadi lebih dahsyat dan hebat.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan alasan faktor keselamatan dijadikan punca laluan bebas di Wang Kelian, Perlis masih ditutup sehingga kini.

Katanya, laluan itu yang menghubungikan laluan bebas Thailand telah ditutup begitu lama.

“Kita tidak dapat penjelasan kenapa ditutup tetapi dikatakan kerana masalah keselamatan dan masalah penyeludupan manusia.

“Penyeludupan terbesar manusia bukan berlaku di Wang Kelian, ia berlaku di Lubok Sireh iaitu sempadan Malaysia-Thailand yang tidak ada tembok.

“Jadi, orang seberang mari dan berlaku penyeludupan. Bukan (penyeludupan) berlaku di Wan Kelian. Di sini, kita ada polis, Imigresen dan Kastam. Tidak ada aktiviti penyeludupan manusian di situ,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana kerajaan Malaysia menghentikan aktiviti perniagaan menyebabkan sebelah Thailand membangunkan bandar yang besar yang akhirnya rakyat Malaysia pergi ke negara itu untuk membeli belah. – MalaysiaGazette