Tamrin Ghafar

PUTRAJAYA – Perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar atas pertuduhan membuat komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Johor menerusi catatan di blognya, akan didengar di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Ini setelah Mohd Tamrin gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk P. Ravinthran, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah menolak rayuan itu setelah memutuskan alasan yang diberikan Mohd Tamrin bagi pemindahan kes tersebut bahawa kemungkinan berlaku berat sebelah dan campur tangan, adalah tanpa merit.

“Kami bersetuju dengan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen bahawa alasan (yang diberikan oleh Mohd Tamrin) untuk memindahkan (kesnya ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur) adalah tanpa sebarang merit.

“Seseorang tidak boleh menganggap bahawa seorang pegawai badan kehakiman akan berat sebelah memihak kepada kerabat diraja. Tidak boleh diandaikan bahawa akan ada campur tangan dalam kes ini dan menjejaskan keadilan,” kata Ravinthran yang menyampaikan keputusan mahkamah.

Hakim itu berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan hujah peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Mohd Tamrin bahawa Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur boleh mendengar sebarang kes jenayah dari mana-mana bahagian Semenanjung Malaysia berdasarkan kes Pendakwa Raya melawan Abul Hassan Mohamed Rashid.

Dalam kes itu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur boleh membicarakan kes-kes dari mana-mana bahagian di Semenanjung kerana Yang di-Pertuan Agong tidak mengehadkan bidang kuasa mahkamah rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah Akta Mahkamah Rendah 1948.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Dusuki Mokhtar yang dibantu TPR Khairul Aisamuddin Abdul Rahman berhujah kes itu tidak sepatutnya digunakan untuk kes Mohd Tamrin kerana keadaan kesnya berbeza.

Kes Mohd Tamrin ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 Mac.

Mohd Tamrin, 73, anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 10 Mac 2021 atas pertuduhan membuat kenyataan yang menyinggung perasaan kerabat diraja Johor menerusi blognya “tamrintunghafar” yang dipautkan di laman Facebooknya, di Pejabat Media RPO Services, Jalan Persiaran Southkey 1, Kota Southkey di sini, kira-kira 7 malam, 2 Februari 2020.

Catatan itu membabitkan artikel mengaitkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mohd Tamrin dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Beliau memohon agar kesnya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas alasan antara lain akan berlaku prejudis jika kesnya dibicarakan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana ia melibatkan kerabat diraja Johor.

Pada 5 September 2021, Mahkamah Sesyen Johor Bahru menolak permohonannya untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru turut menolak rayuannya pada 7 April tahun lepas. – Bernama