Mohamed Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Meminjam daripada bank dengan mencagar wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan langkah terbaik membantu rakyat dalam kesempitan.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menegaskan, rakyat yang dalam keadaan terdesak perlukan duit untuk meneruskan kehidupan dan melangsaikan hutang tertunggak sebaiknya dipermudahkan menggunakan  simpanan sendiri.

“Bukan membebankan lagi rakyat dengan hutang baru dan menanggung komitmen membayar kadar faedah atau keuntungan kepada bank di kemudian hari pula.

“Ada yang mendakwa pencarum yang meminjam dengan bank boleh mengambil tempoh cagaran itu sebagai waktu untuk mereka bangun semula dan membina kewangan yang kukuh sedikit demi sedikit.

“Tempoh untuk bangun semula itu akan menjadi lebih sukar kerana terpaksa menanggung komitmen hutang yang baru,” katanya kepada media di sini hari ini.

Mohamed Sukri berkata, adalah lebih baik selepas dibenarkan mengeluarkan simpanan KWSP untuk melunaskan hutang sedia ada, tempoh setelah itu boleh digunakan bagi membina semula kewangan dengan mengganti simpanan yang telah dikeluarkan sedikit demi sedikit daripada berterusan membayar hutang.

Ujarnya, pencarum perlu tahu wang mereka dijamin dan dilindungi, malah Akta KWSP 1991, Seksyen 51 menyatakan, caruman dan deposit tidak boleh diserah hak atau ditahan.

“Dalam bentuk penyerahan apa pun dan kepada siapa pun, duit pencarum sama ada carumannya sendiri, caruman majikan atau kredit tidak boleh digunakan untuk apa-apa hutang atau tuntutan.

“Akta inilah yang melindungi duit pencarum walaupun sudah jatuh muflis, bukan bank.

“Dengan beban komitmen sedia ada, mudahkan bagi bank meluluskan pinjaman terutama kepada yang kehilangan kerja, baru memulakan kerja baru atau suri rumah yang tiada dokumen sokongan kuat untuk memohon pinjaman?,” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan apa jaminannya dividen tahunan yang diterima pencarum setara dengan jumlah faedah atau keuntungan yang perlu dibayar semula?

“Adakah kerajaan mampu menjamin bank memberi pinjaman tanpa faedah atau keuntungan? Jika semua persoalan ini tidak menyebelahi rakyat adalah lebih A daripada B.

“Contohnya, A keluar RM10,000 KWSP tiada faedah dan keuntungan, berbanding B pinjam RM10,000 campur cagar KWSP, campur bayar hutang baru, campur pula bayar faedah dan keuntungan,” katanya. – MalaysiaGazette