Pengarah Eksekutif Pengerusan DBKL, Khairul Anuar Md Juri berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR) X ‘MySchoolBus’@Wilayah di Dataran DBKL, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 13 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Lebih 1,500 kompaun atas kesalahan merokok di tempat awam dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang Januari hingga Februari tahun ini.

Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Khairul Anuar Md Juri berkata, kompaun itu dikeluarkan menerusi hasil operasi bersepadu dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sekitar ibu negara.

Katanya, kesalahan dikenakan di bawah Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 iaitu merokok di tempat larangan.

“Pemantauan akan sentiasa diadakan dari masa ke masa dan yang lebih penting kesedaran masyarakat sendiri untuk tidak merokok di tempat awam.

“Ia melibatkan taman awam, restoran, bangunan kerajaan dan laluan pejalan kaki berbumbung.

“Mereka yang melakukan kesalahan ini akan dikompaun sebanyak RM250 serta merta dan sekiranya tidak dibayar mereka akan dikenakan tindakan susulan termasuk tindakan mahkamah,” katanya.

Pengarah Eksekutif Pengerusan DBKL, Khairul Anuar Md Juri (tiga kanan) diiringi Timbalan Pengarah Kanan Kesihatan Awam DBKL, Dr. Nor Halizam Ismail (tiga kiri) menyempurkanan gimik pada Majlis Pelancaran Kempen Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR) X ‘MySchoolBus’@Wilayah di Dataran DBKL, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 13 MAC 2023.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran Kempen Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR) X MySchoolBus @Wilayah, di sini, hari ini.

Menerusi pelancaran Kempen KLBAR itu, Khairul Anuar berharap ia akan memberi impak kepada hampir 11,000 pelajar dalam satu tahun sesi persekolahan.

“Kempen ini akan memberi impak sekurang-kurangnya kepada 8,000 pelajar daripada Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL, 3,000 murid daripada Perumahan Swasta Kos Rendah DBKL.

“Selain itu, ia akan melibatkan 108 pengendali bas sekolah dengan lebih 200 buah bas sekolah yang akan ditampal dengan pelekat kempen itu.

“Usaha ini adalah lanjutan daripada promosi dan kesedaran dalam memerangi amalan merokok setelah pelancaran kempen KLBAR dalam tren MRT dan LRT melalui video promosi pada 1 Disember 2021 sehingga kini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program itu juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG bagi mempromosi gaya hidup sihat sekali gus mengurangkan risiko penyakit seperti kanser, masalah paru-paru dan pelbagai penyakit kronik lain.

Mengulas lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) untuk bazar Ramadan di sekitar ibu negara, Khairul Anuar berkata, buat masa ini belum ada ketetapan berhubung perkara itu.

Katanya, DBKL akan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu dan berharap penguatkuasaan SOP bazar ramadan tidak terlalu ketat sewaktu pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast