Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim bercakap kepada media ketika Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang ke-14 Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 MAC 2023.

SHAH ALAM – Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim mengesahkan pihaknya masih belum menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail sebagai ketua pembangkang negeri setakat ini.

Beliau berkata, Dewan Negeri Selangor tidak boleh menerima pemakluman daripada khabar angin mahu pun kenyataan lisan, lebih-lebih lagi daripada pihak ketiga.

“Dalam dewan peraturannya tidak boleh dengar cakap-cakap, itu tidak boleh dibawa, kena ada fakta, kena ada surat dan sebagainya.

“Saya tidak akan layan sebarang cakap-cakap, dengar cerita, kena tunjukkan bukti dia tidak minat.

“Apabila Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin) mengatakannya mewakili UMNO, saya pun terkejut, kenapa dia tiba-tiba jadi jurucakap UMNO pagi ini, sepatutnya (Datuk) Rizam (Ismail) yang bagi surat kepada saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor hari ini.

Terdahulu Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa mencadangkan agar ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai Ketua Pembangkang Selangor yang baharu.

Cadangan itu dibuat susulan Rizam yang juga ADUN Sungai Tawar daripada Barisan Nasional  kini menjadi sebahagian kerajaan negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat pusat.

Selain itu, menurut Mohamed Azmin, jawatan Ketua Pembangkang itu perlu diserahkan PN kerana Rizam sudah kurang efektif berbahas bagi pihak pembangkang dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

Mohamed Azmin turut mendedahkan beliau ada menemui Rizam secara empat mata dan mengatakan ADUN Sungai Air Tawar itu mengakui sukar berperanann sebagai ketua pembangkang dalam situasi politik hari ini.

Suee Lim juga berkata, beliau tidak membuat sebarang keputusan sehinggalah Rizam memberikan surat peletakan jawatan sebagai ketua pembangkang.

“Dari segi prosedurnya, sepatutnya saya akan terima surat daripada ketua pembangkang mengatakan dia sudah tidak mahu jadi ketua pembangkang atas alasan, baru saya akan buat keputusan.

“Setakat ini saya kekal seperti biasa dahulu, setakat ini juga saya belum terima surat (letak jawatan),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rizam kurang efektif, serah Ketua Pembangkang kepada Sijangkang – Azmin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast