Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berucap pada Majlis Pelancaran Program Konsultasi Guaman Syariah Percuma sempena Ramadhan 1444H di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pihak-pihak yang menjalankan undang-undang syariah perlu mencari kaedah untuk memastikan tempoh penyelesaian bagi sesuatu kes di mahkamah syariah dapat dipendekkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu perlu kerana bimbang kezaliman akan berlaku kepada pasangan yang berdepan dengan masalah rumah tangga.

“Kita bimbang kezaliman akan berlaku. Jadi, sebab itu saya sebutkan, Jabatan Kehakiman Malaysia, Mahkamah Syariah, peguam syarie perlu mencari idea bagaimana nak pastikan supaya tempoh penyelesaian suatu kes itu dapat dipendekkan.

“Lagi panjang kes tu, ia akan menyebabkan kezaliman kepada pihak-pihak dan peranan ini bukan sahaja mahkamah perlu mainkan, peguam syarie pun kena mainkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Konsultasi Guaman Syariah Percuma Sempena Ramadhan anjuran Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata, tidak perlu ada usaha untuk melambat-lambatkan penyelesaian kes di mahkamah syariah kerana yang teraniaya adalah pihak terlibat.

Justeru, katanya, pengembelengan kerjasama semua pihak seperti mahkamah dan peguam dalam memastikan adanya matlamat yang sama, namun, pada masa sama tidak memprejudis keadilan tersebut.

“Jadi, kena pandai imbangkan antara bagaimana nak mempercepatkan kes tapi dalam masa sama tidak memprejudiskan isu keadilan,” ujarnya.

Program konsultasi percuma merupakan khidmat perundingan percuma kepada pihak-pihak yang berurusan dengan Mahkamah Syariah, khusunya golongan B40.

Matlamat program itu adalah untuk memastikan semua umat Islam di negara ini mendapat akses kepada keadilan walaupun mereka terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan dari segi ekonomi.

Ia juga bagi menjalankan sebahagian khidmat PGSM kepada masyarakat Islam sesuai dengan kepakaran yang dimiliki oleh ahli-ahli PGSM yang merupakan peguam syarie yang bertauliah. – MalaysiaGazette