Pas Zahid LGBT Khairuddin penasihat agama bertanding Malaysia sekular
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan individu membawa sepanduk memaparkan mesej songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada perarakan di sini Ahad lalu telah mencemari sambutan Hari Wanita.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, perjuangan yang baik seperti desakan menghentikan semua jenis keganasan berdasarkan jantina sangat dialu-alukan.

Namun, katanya, perarakan sempena Hari Wanita tidak wajar dicemari dengan mesej tuntutan yang bercanggah dengan Islam, budaya setempat dan undang-undang.

“Sebarang mesej untuk menghalalkan perlakuan seks songsang adalah satu usaha normalisasi yang tidak wajar dilakukan dan dibiarkan berleluasa.

“Paksi bagi negara Malaysia ialah Islam. Rukun Negaranya ialah kepercayaan kepada Tuhan. Tiada masyarakat beragama yang menghalalkan hubungan seks songsang, apatah bagi negara seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perbuatan tidak bertanggungjawab kumpulan yang dipercayai menyokong agenda LGBT itu dikecam oleh banyak pihak khususnya umat Islam.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis telah membuka kertas siasatan berhubung pengajuran perhimpunan dan perarakan tersebut.

Perhimpunan yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka itu disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Kecil 1955.

Mohd. Khairuddin turut mengalu-alukan tindakan pantas polis menyiasat perarakan tersebut dan ia menggambarkan sikap rasmi negara kepada rakyat dalam perkara sedemikian. – MalaysiaGazette