Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu draf penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) perlu mengambilkira peruntukan undang-undang persekutuan serta negeri.

Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat bersama Jawatankuasa Kerja Sementara pada 1 Mac lalu.

“Penubuhan Majlis Media Malaysia dan rang undang-undang yang dicadangkan hendaklah mengambilkira peruntukan undang-undang persekutuan serta undang-undang negeri sedia ada berkaitan dengan media.

“Peranan dan fungsinya juga perlu jelas bagi memastikan tiada pertindihan skop undang-undang penubuhan Majlis Media Malaysia dengan peruntukan undang-undang serta kawal selia sedia ada oleh pihak kerajaan,” jawab Ahmad Fahmi dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Ahmad Fahmi mengulas pertanyaan Tan Kok Wai (PH – Cheras) yang ingin apakah yang telah berlaku kepada cadangan Majlis Media Malaysia yang telah diluluskan penubuhannya oleh Kabinet pada 6 Disember 2019 dan perkembangan penggubalan rang undang-undang bagi penubuhan majlis itu.

Jelas Ahmad Fahmi, Jawatankuasa Kerja Sementara bertujuan mendapatkan penjelasan lanjut tentang kandungan draf RUU daripada JK Pro-Tem supaya lebih spesifik dan boleh
diukur.

“KKD akan menyelaras perjumpaan bersama JK Pro-Tem dalam masa terdekat bagi membincangkan selanjutnya mengenai draf yang sedang dikemaskini,” jelasnya lagi.

Cadangan bagi menubuhkan MMM dimulakan pada 6 Disember 2019 setelah Jemaah Kabinet pada ketika itu bersetuju secara prinsip ke atas Memorandum daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Untuk rekod, cadangan penubuhan MMMi pada waktu tersebut mengambilkira akan peranannya mempertahankan kebebasan media negara dalam menyampaikan maklumat dan sebagai sebuah badan adjudikasi yang akan mengawal selia aduan yang diterima daripada orang awam berkaitan media. – MalaysiaGazette