Rafizi Ramli. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – “Buang duit sahaja, hantar ekstrak ganja kepada saya dan Perdana Menteri,” kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai rampasan bungkusan mengandungi ganja yang menggunakan alamat penerima palsu kononnya dibeli beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bungkusan itu dihantar ke pejabat saya dan saya tidak buka walaupun dialamatkan kepada saya dan Perdana Menteri.

“Dua-dua kami tidak ambil ganja, jadi itu pembaziran dan bungkusan itu sudah dihantar ke polis,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Rafizi diminta mengulas mengenai laporan media berhubung rampasan satu bungkusan mengandungi ekstrak ganja yang dialamatkan kepada beliau dan Anwar.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof semalam berkata, polis menerima laporan dibuat oleh Bahagian Keselamatan Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya yang memaklumkan menerima panggilan memberitahu terdapat satu bungkusan atas nama dua ahli politik.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima bungkusan itu disyaki mengandungi barang terlarang, memandangkan sebuah pejabat kerajaan di Putrajaya turut menerima bungkusan mengandungi daun ganja, minggu lalu.

Rafizi turut memberikan komen bahawa beliau tidak melihat secara langsung bungkusan berkenaan kerana ia telah diambil oleh polis.

Semalam, polis merampas satu tiub ubat gigi berpenutup berwarna hijau/putih bercorak daun ganja tertera tulisan ‘Happy Green’ yang di dalamnya mengandungi pes putih kehijauan disyaki ubat gigi dan estrak daun ganja (80 gram) yang ditemui dalam bungkusan kotak berwarna coklat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PM, Rafizi terima lagi bungkusan berisi ekstrak daun ganja