ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang ke-14 Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 MAC 2023.

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat kejutan apabila muncul pada hari pertama dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor  hari ini.

Kehadiran Mohamed Azmin disedari petugas media apabila beliau bangkit mengajukan soalan tambahan kepada Exco Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkenaan pelan adaptasi dan mitigasi terhadap perubahan iklim.

“Terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Antarabangsa yang sekian lama tidak masuk ke dalam Dewan (Negeri Selangor).

“Tahniah persoalan yang ditujukan kepada perubahan cuaca,” katanya Loy Sian semasa sesi pertanyaan mulut Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor ke-14 2023, di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Mohamed Azmin bertanyakan mengenai sejauh mana kerajaan negeri menyediakan Pelan Tindakan Cuaca (CAP) peringkat kerajaan tempatan dalam mempromosi kelestarian dan pengurangan gas rumah hijau (GHG) dalam menangani perubahan iklim.

“Kalau perkara ini dapat dilakukan dengan menyediakan CAP ini, ianya dapat mencerakinkan secara spesifik langkah-langkah yang boleh diambil dan ianya boleh menjadi panduan sama ada kepada pengguna ataupun pihak pemaju.

“Apakah mungkin kita boleh menyediakan insentif untuk kualiti tinggi dan bangunan cekap tenaga.

“Apakah kita boleh menyediakan sejumlah pelaburan dalam tenaga dijana semula oleh kerajaan negeri dan melaksanakan pengurusan sisa mampan di Selangor,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan mulut  Elizabeth Wong (PH- Bukit Lanjan) dalam mengurangkan kesan buruk perubahan iklim, Loy Sian berkata beberapa tindakan segera sedang dilakukan dengan menambahbaik dan menaiktaraf infrastruktur asas sedia ada.

Jelasnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) telah membuat perancangan dalam mengatasi perubahan iklim termasuk pengurusan banjir.

“Pembinaan ban banjir, tembok penahan banjir, terowong banjir, bypass channel dan barrage untuk kawalan banjir; menaik taraf sistem saliran dan pembinaan kolam takungan banjir seperti underground storage, elevated pond, vertical dan horizontal storage dan kolam takungan bertingkat

“JAS juga mewujudkan Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB); Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM – Integrated River Basin Management) dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (IFMP Integrated Flood Management Plan) serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA),” jelasnya.

Bagi tujuan itu, jelas Loy Sian lagi, kerajaan negeri telah meluluskan Peruntukan Pembangunan Negeri (P13) kepada JPS sebanyak RM556.6 juta.

“Daripada peruntukan tersebut, sebanyak 44 peratus atau RM245.86 juta untuk Pembangunan Projek Tebatan Banjir.

“Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM455.2 juta kepada JPS untuk melaksanakan empat projek tebatan banjir di Sungai Kayu Ara, Sungai Buloh, Sungai Langat dan Sungai Kuyoh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast