Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko (kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia antara kerajaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi dan Kementerian Luar Negeri Jepun di Hotel Pullman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Universiti Tsukuba di Jepun akan membuka kampus cawangannya di Malaysia sekali gus bakal melakar sejarah tersendiri kerana ia adalah kampus cawangan universiti Jepun yang pertama ditubuhkan di luar negara berkenaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemilihan negara ini sebagai lokasi penubuhan kampus cawangan universiti awam Jepun pertama di dunia merupakan satu pengiktirafan kepada pengurusan pendidikan tinggi negara dan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Jepun.

Beliau turut yakin penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba akan memberi peluang dan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk datang dan melanjutkan pelajaran di negara ini.

“Selain itu, penubuhan kampus cawangan ini juga dilihat sebagai tanda penghargaan Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Jepun dan kesinambungan terhadap Dasar Pandang ke Timur yang sudah mencecah 40 tahun.

“Semoga pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC ) ini akan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara dan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan global dapat dicapai,” katanya.

Mohamed Khaled Nordin bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko (kanan) menunjukkan Memorandum Kerjasama penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia antara kerajaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi dan Kementerian Luar Negeri Jepun di Hotel Pullman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2023.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada menandatangani MOC antara Kerajaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) dan Kementerian Luar Negeri Jepun berhubung penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia di sebuah hotel di sini hari ini.

Universiti Tsukuba yang ditubuhkan pada tahun 1872 merupakan salah satu daripada 86 buah universiti awam dan tersenarai dalam 10 universiti terbaik di Jepun.

Khaled menambah, sebelum ini cadangan penubuhan sebuah kampus cawangan institusi pendidikan tinggi Jepun di Malaysia telah diutarakan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 2018.

Jelas beliau, Kerajaan Jepun menyambut baik cadangan tersebut dan seterusnya mencadangkan supaya kampus cawangan Universiti Tsukuba ditubuhkan di Malaysia.

“MoC ini sebagai asas persetujuan yang merangkumi objektif, ruang lingkup dan bentuk kerjasama, serta perincian komitmen kewangan oleh kedua-dua buah negara.

Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis MoC penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia antara kerajaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi dan Kementerian Luar Negeri Jepun di Hotel Pullman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2023.

“Justeru, pembukaan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Kuala Lumpur akan membantu kementerian untuuk mengukuhkan tiga dinamik utama yangmewakili keunggulan sesebuah university iaitu akademik kecemerlangan, jangkaan industri dan kematangan pengalaman.

“Selain itu, ia juga mengesahkan potensi dan keupayaan negara untuk menjadi hab bakat dan pengetahuan global dalam usaha mencapai impian Malaysia untuk membangunkan sistem pendidikan tinggi terkemuka yangmembolehkan kita muncul sebagai destinasi pilihan,” katanya.

Khaled memberitahu, kerajaan sentiasa membuka pintu kami kepada universiti yang bereputasi tinggi untuk datang dan menubuhkan kampus cawangan di sini.

Sehingga kini kata beliau, Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 100 institusi awam dan swasta termasuk 10 kampus cawangan luar negara melibatkan universiti ternama dari United Kingdom, Ireland, China, Australia dan kini adalah Jepun. – MalaysiaGazette

Mohamed Khaled Nordin (dua kiri) bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko (dua kanan) menunjukkan Memorandum Kerjasama penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia antara kerajaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi dan Kementerian Luar Negeri Jepun di Hotel Pullman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2023.