Chan Foong Hin hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai pengimport utama beras negara perlu melaksanakan 10 obligasi sosial tanpa menerima sebarang geran daripada kerajaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, kerajaan tidak boleh membatalkan sebarang kontrak pengimportan beras ke negara ini secara unilateral kerana perlu mengambil kira obligasi sosial yang dipersetujui dengan BERNAS.

Obligasi itu antaranya ialah mengurus stok penimbal beras negara, mengekalkan peranan sebagai pembeli padi terakhir pada harga minima dan mengurus pembayaran subsidi harga padi serta skim pengilang, pemborong bumiputera dan koperasi petani.

Selain itu, BERNAS juga harus memperuntukkan dana bagi pembekalan jentera dan mekanisasi padi, membangunkan sawah berskala besar dan menyediakan peruntukan bagi beberapa program termasuk pembangunan stok penimbal benih padi, bantuan tabung bencana tanaman padi dan sistem maklumat padi dan beras.

“Kos yang perlu ditanggung BERNAS untuk menyambung pelaksanaan obligasi ini secara langsung atau tidak langsung ialah sebanyak RM3.22 bilion dan daripada jumlah itu, RM1.85 bilion membabitkan petani, manakala RM1.37 bilion kepada industri dan pengguna.

Sebelum ini, beberapa pihak mempertikaikan perlanjutan tempoh konsesi BERNAS sebagai pengimport tunggal beras di negara ini namun kerajaan menegaskan, ia suatu yang tepat bagi memastikan bekalan bahan makanan berkenaan dalam keadaan stabil dan terkawal.

Sementara itu, peruntukan berjumlah RM3.7 bilion bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2023 lulus di peringkat jawatankuasa melalui undian suara majoriti selepas dibahas 21 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. – MalaysiaGazette