PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong langkah kerajaan menyertai masyarakat dunia dalam memperingati Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia yang disambut setiap 15 Mac.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia menjadi tanggungjawab agensi agama berkenaan untuk menyokong apa sahaja usaha memerangi Islamofobia.
“Apa sahaja usaha untuk memerangi Islamofobia ini kita akan sokong… apatah lagi kalau kenyataan itu keluar daripada Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri sendiri.
“Jadi, kami di pihak agensi agama ini akan sentiasa menyokong dan sudah tentu akan mempergiatkan lagi usaha-usaha memerangi Islamofobia itu,” katanya ketika ditanya mengenai langkah Malaysia yang sepenuh hati mahu menyertai masyarakat dunia dalam memperingati hari berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan JAKIM di sini, hari ini.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, Malaysia dengan sepenuh hati menyertai masyarakat dunia dalam memperingati hari tersebut yang disambut setiap 15 Mac.
Meskipun Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia bukanlah suatu hari yang patut diraikan, namun, ia merupakan hari untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia dan keperluan tindakan menangani isu Islamofobia, katanya.
Menurut Anwar, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa secara konstruktif dan kolektif bagi mencapai tujuan berkenaan. – MalaysiaGazette















