KUALA LUMPUR – Larian ini memang istimewa dan lain daripada yang lain kerana kesemua peserta larian terdiri daripada lelaki.
Keunikan ini ditampilkan oleh jenama antarabangsa Kahf dan Ultra Crew-ni selaku penganjur bersama acara yang dinamakan KahfBro Run apabila lebih 150 peserta lelaki termasuk pempengaruh media sosial, blogger dan pengembara menyertainya.
Ia merupakan larian ria berasaskan komuniti pertama di negara ini sebagai usaha untuk mendekati orang melalui aktiviti kegiatan luar dan gaya hidup aktif masa kini.
Bermula di Pantai Floria, Putrajaya, acara berlangsung dengan jarak larian sepanjang lima kilometer yang menawarkan hadiah menarik dan cabutan bertuah bernilai sehingga RM5,000.
Wakil jenama itu, Bella Indah Permatasari berkata, pihaknya mempunyai misi berterusan untuk menyebarkan nilai-nilai kebaikan sejagat dalam kehidupan dan meningkatkan kualiti hidup ke arah yang lebih baik.
“Kahf menawarkan pelbagai produk dengan formulasi ringan dan imej moden untuk menggalakkan manfaat intelektual, emosi, dan rohani.
“Jenama ini terus berusaha untuk mempromosikan pengalaman penjagaan diri dan kulit lelaki yang terbaik, semula jadi, ringan, halal dan thayyib untuk meningkatkan nilai kehidupan lelaki melalui #jalanyangkupilih dan #perjalananberkahf.
“Melalui penglibatan bersama komuniti ini, kami percaya dapat menawarkan satu lagi pendekatan gaya hidup untuk memberi inspirasi kepada kaum lelaki supaya terus belajar dan berkongsi kesedaran bukan sahaja mengenai gaya hidup dan kesihatan secara umum, tetapi lebih khusus mengenai penjagaan diri dan kulit, kebersihan serta produk pelindung matahari,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Bella Indah menambah, beberapa siri penglibatan dan aktiviti berasaskan komuniti telah dirancang untuk Kahfbro pada masa akan datang termasuklah melibatkan komuniti sukan, kegiatan luar, automotif, gaya hidup, keusahawanan, seni dan budaya serta banyak lagi.
Sementara itu, Ultra Crew-ni RC yang diwakili Khalish yang merupakan seorang personaliti media sosial kecergasan yakin bahawa sudah tiba masanya untuk pendekatan itu dilaksanakan bagi menggalakkan pertumbuhan serta memberi nilai tambah terhadap potensi dan kualiti jenama itu.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi menyokong variasi rangkaian produk penjagaan diri dan kulit lelaki yang diharapkan mampu memberi impak positif melalui semangat kebaikan bersama komuniti dan persekitaran.
“Kami di Crew-ni RC berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kahf dalam menjalankan acara ini kerana kami percaya bahawa penglibatan ini memberi pendedahan dan semangat untuk kami terus memberi inspirasi antara satu sama lain supaya kekal cergas dan sihat,” katanya.
Sementara itu, jenama Kahf yang memasuki pasaran Malaysia pada Oktober tahun lalu dimiliki oleh PT Paragon Technology and Innovation yang berasal dari Indonesia iatu sebuah syarikat kecantikan terbesar di republik itu. – MalaysiaGazette