LAHORE- Beberapa individu cedera dalam pertempuran di antara pihak polis Pakistan dan penyokong Imran Khan di luar kediaman bekas perdana menteri itu di sini.
Berdasarkan video-video yang dikeluarkan parti beliau, polis memukul para penyokongnya dengan menggunakan cota serta melepaskan gas pemedih mata.
Menteri Dalam Negeri, Rana Sanaullah dalam siaran langsung televisyen di negara itu berkata, pihaknya akan menahan Imran hari ini dan membawanya ke mahkamah.
Bagaimanapun, pembantu Imran, Shah Mehmood Qureshi memberitahu pemberita, bekas perdana menteri itu telah mendapatkan perlindungan daripada mahkamah yang menghalangnya daripada ditahan polis.
Imran berdepan tuduhan menjual hadiah negara ketika masih berkuasa namun beliau menyifatkan dakwaan itu bermotifkan politik.
Namun begitu, menteri Marriyum Aurangzeb berkata, tindakan menahan Imran tiada kaitan dengan pilihan raya dan pihak polis hanya mengikut perintah mahkamah untuk menahan bekas perdana menteri itu berikutan kes rasuah.- Agensi