Wanita berusia 42 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang penolong akauntan di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang direman seminggu sehingga Selasa depan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM41,768.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini

Wanita berusia 42 tahun itu ditahan 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.

Wanita berkenaan disyaki meminta dan menerima rasuah antara RM50 hingga RM2,500 dengan jumlah keseluruhan RM41,768 daripada pemilik sebuah syarikat sebagai balasan mempercepatkan bayaran tuntutan bagi kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan jabatan di bengkel syarikat tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara April 2021 sehingga Februari 2022.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

-MalaysiaGazette