Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai sekolah agama yang mencukupi untuk menampung permintaan kemasukan pelajar terutama di peringkat sekolah menengah di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kira-kira 50 peratus sahaja tempat yang boleh disediakan daripada permintaan semasa.

“Kemasukan pelajar ke Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2023/2024 di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) berjumlah 2,557 permohonan, namun tempat yang mampu ditawarkan adalah 1,224 tempat sahaja.

“Situasi sama turut dihadapi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam menguruskan kemasukan ke pra sekolah, Sekolah Rendah Agama (SRA), KAFA Integrasi,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan mulut Ahli Dewan Negeri Sentosa, G.Gunarajah kepada Menteri Besar berkenaan sejauh mana bilangan sekolah agama sedia ada mampu menampung jumlah pelajar di Selangor.

Tambahnya, kekurangan tempat itu bukan sahaja kerana kekangan bangunan sekolah yang terhad semata-mata namun turut melibatkan pelbagai aspek dan kos-kos lain.

“Ia turut melibatkan sumber tenaga (guru), kakitangan sokongan, penyelenggaraan, kos utiliti, pembersihan, kawalan keselamatan, buku teks.

“Kerajaan Negeri juga berdepan kekangan bahan bantu mengajar dan pelbagai perkara melibatkan kos yang besar dan berterusan,” katanya.

Katanya lagi, mengikut rekod, calon Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) bagi murid Tahun Enam di peringkat sekolah rendah pada 2022 berjumlah 43,950 calon.

“Manakala penempatan untuk Sekolah Menengah Agama (SAM/ SAMT) dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) adalah berjumlah 3,834 tempat sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette