Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra bersama pelajar semasa hadir meninjau Pelaksanaan Inisiatif Menu Siswa Rahmah di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto AFFAN FAUZI, 16 MAC 2023.

BANGI – Kira-kira  320,000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara dalam kategori golongan B40 layak menikmati Menu Siswa Rahmah dengan harga RM3.50.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak 20 IPTA dan politeknik seluruh negara menyertai inisiatif berkenaan.

Jelasnya, menu ini lebih murah daripada Menu Rahmah yang sebelum ini diumumkan kerajaan bagi membantu mahasiswa di IPTA berjimat.

“Sebanyak 236 gerai di 20 IPTA menawarkan harga Menu Siswa Rahmah RM3.50.

“Kita tahu Menu Rahmah harganya RM5 tetapi di universiti harganya RM3.50 kerana pihak universiti tidak mengenakan kos penyewaan kepada peniaga.

“Jadi univerisiti menyerap kos itu untuk sediakan inisiatif ini,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Menu Siswa Rahmah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Pelajar, Wan Zafikah Wan Hamdan menunjukkan juadah Menu Siswa Rahmah di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto AFFAN FAUZI, 16 MAC 2023.

Untuk rekod, Menu Siswa Rahmah dimulakan pada 2 Januari yang lalu.

Mengulas lanjut Khaled berkata, pelajar B40 akan diberikan token sebagai bukti mereka layak membeli Menu Siswa Rahmah di kafeteria yang menyediakan ya.

Sementara itu menurut beliau, sebanyak 11,000 pelajar B40 di UKM dikenal pasti layak untuk menikmati Menu Siswa Rahmah di 27 kafeteria di universiti berkenaan.

Inisiatif Rahmah mula diperkenalkan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan sebagai usaha membantu golongan B40 dalam negara. – MalaysiaGazette