WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) didakwa menuntut TikTok dijual atau bakal diharamkan di negara ini, menurut jurucakap aplikasi video yang popular itu.
Namun setakat ini masih belum jelas sama ada pentadbiran Joe Biden sudah memberikan tempoh tertentu kepada TikTok untuk mencari pembeli.
Perkembangan terbaharu itu menunjukkan kebimbangan White House tentang keselamatan data rakyat Amerika Syarikat pada aplikasi yang digunakan oleh lebih 100 juta rakyatnya.
Ini merupakan kali pertama pentadbiran Biden secara jelas mengancam untuk mengharamkan TikTok.
Sebelum ini, Donald Trump, bekas Presiden AS cuba untuk menghentikan TikTok tetapi tindakan itu dihentikan oleh Mahkamah Persekutuan.
Syarikat itu “kecewa dengan keadaan ini,” kata jurucakap TikTok itu, mengenai permintaan baharu daripada AS.
Sebuah syarikat AS yang mahu membeli kepentingan Tik Tok perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada China, yang sudah bertahun-tahun memusuhi idea menjual kejayaan media sosial global pertamanya.
Selama dua tahun, Jawatankuasa Pelaburan Asing di AS atau CFIUS, telah meneliti sama ada data AS dilindungi dengan betul.
Sebagai tindak balas, TikTok telah komited untuk membelanjakan AS$1.5 bilion pada pelan yang dikenali sebagai “Projek Texas,” yang melindungi data rakyat AS dengan lebih kukuh iaitu antara TikTok dan pekerja syarikat induknya di Beijing.
Pelan itu bergantung pada penyeliaan data syarikat perisian Oracle yang berpangkalan di Texas.
Ia juga termasuk pemantau dan juruaudit bebas untuk memastikan pemilik korporat ByteDance, mahupun pegawai China, tidak akan dapat mengakses data pengguna AS.
CFIUS pada mulanya berpuas hati dengan langkah keselamatan yang digubal oleh TikTok, walaupun perjanjian itu belum diluluskan secara rasmi.
Kini, bagaimanapun, CFIUS telah menolak cadangan TikTok dan menuntut ByteDance menjual aplikasi itu — sesuatu yang telah ditentang oleh ByteDance dengan bersungguh-sungguh selama bertahun-tahun. – Agensi