KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan bercadang untuk memerangi masalah pemakanan tak seimbang dalam kalangan 5.6 juta kanak-kanak di negara ini termasuk murid prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah rendah.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan dalam masa terdekat supaya penyelarasan bagi inisiatif menangani isu berkenaan dapat dilaksanakan memandangkan ia memerlukan kerjasama rentas kementerian dan agensi.
“Ini soal pembentukan fizikal generasi baharu ertinya pembentukan secara lahiriah generasi akan datang, terdapat ketidakseimbangan pemakanan yang diambil bagi membentuk kejuruteraan insan kepada generasi Malaysia akan datang.
“Kita telah membincangkan peruntukan malpemakanan untuk sekolah-sekolah rendah dan menengah rendah melibatkan kira-kira RM800 juta, dalam soal ini kita mengambil kira pemakanan di taska atau tadika kerana pembentukan fizikal itu bermula daripada pemakanan,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara, di Parlimen.
Ia turut dihadiri Jemaah Menteri termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Kerajaan, tambah Ahmad Zahid akan mengambil langkah antaranya penyelarasan keseimbangan pengambilan makanan mengikut nasihat daripada bahagian pemakanan Kementerian Kesihatan (KKM) dan inisiatif ini dikoordinasi bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Generasi akan datang Malaysia mesti mengikut piawaian yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu mengikut ukuran-ukuran tertentu tetapi kita mahu sebagai orang ASEAN keseluruhannya, pembentukan fizikal ini boleh dilakukan jika nutrisi yang diambil itu bersesuaian dengan piawaian ditentukan,” ujar Ahmad Zahid lagi.
Langkah itu perlu supaya generasi akan datang tidak mengalami kesan isu pemakanan tidak seimbang seperti masalah bantut dan obesiti. – MalaysiaGazette