Anwar mengaminkan doa dibaca Syeikh Dr Yusri Rushdi Sayyid Jabr Al-Hassan pada Majlis MADANI bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya malam ini.- Gambar BERNAMA

PUTRAJAYA – Menjaga akhlak, tidak mengejar kuasa dan kekayaan serta menegur secara berhemah perlu menjadi amalan seseorang pemimpin dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Seri Perdana malam ini, beliau berkata sesebuah tamadun perlu diperkukuh dengan adanya seorang pemimpin yang mempunyai nilai akhlak seumpama itu.

Perdana Menteri berkata beliau telah meneliti dan menghadam pesanan ulama Sheikh Profesor Dr Yusri Rusydi Al-Hasany yang berpesan bahawa tamadun akan runtuh sekiranya seseorang pemimpin gelojoh kuasa, kejar kekayaan, terlibat rasuah dan berhasad dengki.

Anwar berkata konsep Malaysia MADANI diperkenal bagi membina sebuah tamadun yang mempunyai nilai dan akhlak tinggi serta menitikberatkan aspek sama rata dalam memimpin sebuah negara dengan rakyat berbilang kaum.

“Benar, kita perlu ada teknologi yang canggih, sistem pendidikan dan kesihatan yang baik tetapi terasnya masih dengan nilai ini yang disebut MADANI,” katanya.

Pada 19 Jan lepas, Anwar memperkenal Konsep Malaysia MADANI yang berteraskan enam prinsip iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan Ihsan.

Majlis Ilmu MADANI itu dihadiri kira-kira 250 tetamu dari pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan badan bukan kerajaan antaranya Lembaga Tabung Haji, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia serta Pertubuhan Penggerak Dakwah Putrajaya.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum disusuli bacaan selawat serta zikir, tazkirah dan solat Isyak berjemaah. – BERNAMA