Shahrizal dan isterinya Zarimah dihadapkan ke Mahkamah George Town hari ini atas pertuduhan edar dadah.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki berkelainan upaya (OKU) dan pasangannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town hari ini atas pertuduhan mengedar dadah di Gelugor pada 5 Mac lalu.

Tertuduh, Shahrizal Said, 46, dan isterinya, Zarimah Yusof, 43, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Melati Diana Abdul Wahab.

Shahrizal berkerusi roda ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town hari ini.

Mengikut pertuduhan kedua-dua mereka didapati mengedar dadah jenis Methamphetamin seberat 310 gram bertempat di Gelugor jam 12 tengah hari pada 5 Mac lalu.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Sementara itu, di mahkamah sama, pasangan itu turut berdepan pertuduhan mengedar methamphetamin dan kanabis bersama seorang individu yang masih bebas di sebuah kondominium di Gelugor.

Tiada jaminan ditawarkan kepada Zarimah dan suaminya.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan pasangan itu bersama seorang lelaki yang masih bebas didapati mengedar kanabis 7, 144 gram dan 6,589 gram methamphetamin.

Ketiga-tiga mereka didapati melakukan kesalahan itu di sebuah unit Kondominium The Oasis di Gelugor jam 2.10 petang pada 5 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun depan untuk sebutan semula tiga pertuduhan tersebut sementara menunggu laporan kimia. – MalaysiaGazette