Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes pemindahan atau jualan saham Telekom Malaysia Berhad (TM) dari Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. kepada sebuah syarikat pada Oktober tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan tidak boleh memberi apa-apa ulasan mengenai siasatan itu buat masa ini.

“Isu ini (kes pemindahan atau jualan saham Telekom Malaysia Berhad (TM) dari Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. kepada sebuah syarikat) masih dalam siasatan SPRM.

“Justeru, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut,” jawabnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang mahu kerajaan memberikan maklumat laporan terkini terkait siasatan pemindahan atau jualan saham syarikat di bawah kerajaan itu.

Pada Disember tahun lalu, SPRM berkata, pihaknya telah memulakan siasatan terhadap isu penjualan 10,000,000 saham milik TM dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.

SPRM berkata, pihaknya sedang menyiasat jika wujud unsur rasuah dalam penjualan kesemua saham milik TM kepada syarikat bernama Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu. – MalaysiaGazette