Pelajar-pelajar yang mendapat tajaan Yayasan Selangor.

KUALA LUMPUR – Seramai 48 pelajar cemerlang Yayasan Selangor menerima tajaan berjumlah RM885,520 bagi mengikuti sesi persekolahan tahun 2023/2024.

Tajaan ini meliputi, 41 pelajar akan ditempatkan di lima Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) menerusi Program Budi Yayasan Selangor dan tujuh pelajar pula di Kolej
Yayasan Saad Melaka (KYSM) menerusi Program Bitara Yayasan Selangor (BITARA).

Pelajar yang terpilih berpeluang meneruskan persekolahan di sekolah elit dengan iklim pembelajaran kondusif dan prasarana yang lebih efektif.

Pada masa sama, program ini diharap dapat melahirkan murid yang global, cemerlang dan kompetitif seterusnya menghasilkan modal insan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan bertaraf dunia dalam menyumbang tenaga kerja berprestasi tinggi yang akan melebihi jangkaan negara khususnya negeri Selangor.

Pelajar tajaan Yayasan Selangor ini terdiri daripada golongan B40 dengan pendapatan per kapita keluarga kurang daripada RM2,000 sebulan dan penajaan program-program tersebut meliputi yuran persekolahan, yuran penginapan dan makanan, yuran pengajian, wang saku dan peranti.

Untuk rekod, BITARA merupakan program yang dilaksanakan sejak 2021 dengan kerjasama di antara Yayasan Selangor dan KYSM, bermatlamat untuk melahirkan pelajar cemerlang dan kompetitf dalam memenuhi pasaran pekerjaan.

Manakala, Program Budi Yayasan Selangor merupakan program tajaan kepada murid kelahiran Selangor yang berada di 12 buah MRSM terpilih dan tajaan disalurkan sepanjang tempoh pengajian selama lima tahun bermula Tingkatan 1 hingga 5. – MalaysiaGazette