Penguat kuasa JKN Melaka memeriksa kebersihan restoran di sebuah hotel dalam operasi sempena Ramadan

MELAKA – Dua daripada 44 restoran hotel di negeri ini diarah tutup sementara ekoran gagal mematuhi tahap kebersihan termasuk mempunyai najis tikus.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata,
selain itu, lapan buah hotel juga dikompaun kerana terdapat tempat pembiakan jentik-jentik.

Menurutnya, tindakan itu dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dan Unit Inspektorat dan Perundangan JKN yang menjalankan pemantauan keselamatan makanan dan kebersihan premis di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi kerja-kerja pembersihan.

Penguat kuasa JKN Melaka mengesan najis tikus ketika pemeriksaan di restoran sebuah hotel dalam operasi sempena Ramadan.

Operasi selama dua hari bermula Rabu lalu turut dilakukan di bawah penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan kebersihan persekitaran hotel di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975).

“Operasi ini dijalankan menjelang Ramadan minggu hadapan yang mana dua restoran hotel terpaksa diarah tutup sementara kerana kotor termasuk mempunyai najis tikus.

“Selain itu, pemeriksaan mendapati lapan hotel dikenal pasti ada tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak 17 kompaun kesalahan turut dikeluarkan dengan nilai RM4,250 atas kesalahan tidak memasang papan tanda larangan merokok.

“Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, sebanyak 46 kompaun kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai RM18,750 terhadap 25 buah hotel,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan dan kebersihan premis pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau membuat aduan melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my. – MalaysiaGazette.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast