Ibrahim ketika berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan Putra Bahagian Pasir Mas.

PASIR MAS – Persidangan Perwakilan Putra Bahagian Pasir Mas hari ini, sebulat suara mencalonkan Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali sebagai Ketua Bahagian itu.

Keputusan itu dicapai menerusi usul yang dipersetujui 155 perwakilan yang hadir persidangan tahunan bagi sesi 2023 hingga 2026 di Kampung Bunut Susu, dekat sini.

Mereka mahu Ibrahim memimpin bahagian itu berdasarkan pengalamannya sebelum ini sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas dari tahun 1992 sehingga 2003 dan pernah menjawat jawatan anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Bagaimanapun, beliau disingkirkan dari jawatan dan parti itu oleh presiden ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pemecatannya disebabkan  kelantangan beliau tanpa diberi peluang membela diri,  disifatkan sebagai keputusan mengejut yang menyebabkan Ibrahim bertanding sebagai calon bebas pada PRU 2004.

Sebelum menubuhkan Putra empat tahun lalu, Ibrahim pernah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal iaitu tahun 1986 bersama Barisan Nasional (BN), 1990 dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan 2008 bertanding atas tiket Pas, tetapi sebagai wakil rakyat bebas.

Ibrahim dalam ucapan perasmian persidangan itu, mengumumkan akan kembali berkhidmat dan berjuang untuk rakyat Parlimen Pasir Mas selepas didesak dan dipilih untuk memimpin Putra Bahagian itu sebagai ketua bagi penggal 2023-2026 ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast