Temu Anwar
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat usaha pihak yang kehilangan kuasa untuk menggunakan situasi semasa bagi mengapi-apikan sentimen kaum dan agama.

Perdana Menteri berkata, pihak berkenaan berkenaan juga akan menggunakan rakyat miskin bagi menimbulkan suasana tidak harmoni.

Menurut beliau, keadaan ketika ini terkawal namun tindakan keras akan diambil oleh pasukan keselamatan jika pihak tersebut melampau.

“Saya telah arahkan seluruh pasukan keselamatan untuk waspada kerana orang yang terdesak dan tercabar, akan menggunakan sentimen ini dan rakyat yang miskin akan diupah untuk menimbulkan apa-apa juga kekacauan.

“Saya ingin tegaskan dan Kabinet bersama dalam hal ini untuk mempastikan bahawa keamanan dan kedamaian semua kaum dipertahankan dan tidak akan bertolak ansur sedikit pun terhadap usaha yang menganggu-gugat keselamatan negara.

“Sekarang keadaan terkawal tetapi ada usaha orang yang kehilangan kuasa untuk menggunakan ini untuk meniup sentimen kaum dan agama, jadi sekiranya tindakan itu melampau, mengganggu-gugat, pihak keselamatan akan keras dan tegas untuk bertindak,” kata Anwar dalam sidang media hari ini.

Perdana Menteri menengaskan, kerajaan perpaduan yang dipimpinnya akan teguh pertahan prinsip Perlembagaan negara dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

Manakala agama lain diberikan ruang dan kekebasan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Kerajaan ini dengan dasar jelas ke arah Malaysia Madani, teguh dalam mempertahankan nilai dan akhlak dan kukuh dengan semangat kita menyatupadu rakyat pelbagai kaum dan agama. Kita kata kita inklusif.

“Kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu tidak boleh diguna pakai kerana kita tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa Malaysia harus aman, tertib dibangunkan oleh Melayu dan Bumiputera, Cina, India, suku kaum Dayak, Iban, Melanau dan Kadazan.

“Oleh yang demikian saya ingin tegaskan semula kita tidak akan bertolak ansur dalam hal ini. Sebarang usaha oleh sesiapa pun yang cuba mengadu domba, menghangatkan suhu kaum dan agama di negara ini tidak akan diizinkan,” katanya.

Isu singgungan, fitnah dan serangan kepada Kerajaan Perpaduan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Beberapa isu yang meresahkan rakyat timbul sejak beberapa hari lalu. Ini termasuk filem Mentega Terbang, program ‘Ziarah ke Gereja’ anjuran syarikat Impact Malaysia serta penglibatan golongan LGBT yang memperjuangkan hak mereka dalam perhimpunan sempena Hari Wanita baru-baru ini.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.