MARAN – Wang simpanan seorang guru berjumlah lebih RM100,000 hilang sekelip mata selepas diperdaya ketika mahu membeli Smart Tag Touch N Go yang berharga RM80 seunit.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 54 tahun itu terjerat semasa melayari laman sosial Facebook.
Mangsa yang berurusan dengan suspek, telah memasukkan maklumat bank ke dalam pautan yang diberi untuk membuat pembayaran.
“Mangsa telah memasukkan maklumat dua bank tetapi masih gagal membuat pembayaran.
“Namun, setelah semakan dibuat, mangsa mendapati wang di dalam kedu-dua akaun miliknya telah dikeluarkan melalui 16 kali transaksi berjumlah RM123.350.19,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ramli sekali lagi mengingatkan orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan laman media sosial jualan yang tidak wujud serta elak daripada memuat turun aplikasi pautan dari sumber tidak sah atau mencurigakan.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette