Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyampaikan ucapan pergulungan pada Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat di Stadium Melawati, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 MAC 2023.

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sedar beliau antara sasaran serangan utama pembangkang selain Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana beliau sebagai Menteri Ekonomi dan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Kalau serangan ke atas saya ialah mereka akan terus memainkan soal formula. Saya nak ingatkan kepada pembangkang kalau nak sebut formula itu sebutlah betul-betul. Ada yang sebut ‘pemula’ ada yang tidak tahu eja formula tetapi ini satu-satunya benda yang mereka boleh main sekarang.

“Pembangkang ini akan ungkit kisah lama. Contohnya, kenyataan Anwar pada tahun 2008 mengenai turun harga minyak walaupun sebenarnya keadaan cukup berbeza dengan pembangkang sekarang.

“Mereka juga akan mainkan kempen kita dalam tahun 2011 dan 2012 dalam soal mengurangkan hutang PTPTN dan mengurangkan harga kereta,” kata Ahli Parlimen Pandan itu

Menurut beliau, pembangkang terutama Pas tahu perkara itu kerana mereka pada masa itu paling ghairah sekali menjemput pemimpin PKR untuk berkempen atas pentas parti mereka.

“Mereka jemput atau guna kita sebab orang Pas tidak boleh nak terangkan perkara macam ini. Padahal mereka tahu semua itu,” katanya sesi penggulungan pada Kongres Nasional Khas 2023 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi juga mendedahkan sebab beliau kembali semula berasa PKR selepas sekian lama mengundurkan diri kerana kecintaan dan kesetiaan sahabat yang lama berjuang.

Beliau juga menceritakan bagaimana beliau berjuang ketika Anwar merengkok dalam penjara sejak 1998 dan 1999.

“Saya masih ingat semasa tahun 1998, 1999 banyak daripada kami yang menyertai reformasi. Ketika itu Anwar dalam penjara, Kak Wan (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) sebagai presiden.

“Bahkan dalam berjuang dan mahukan reformasi itu, saya dan dalam kalangan ahli PKR sendiri tidak pernah merasakan satu hari nanti kita akan menjadi kerajaan. Tak ada.

“Saya tidak rasa sebahagian besar daripada kami merancang bahawa kita boleh menjadi menteri satu hari nanti,” katanya lagi.

Jelas Rafizi, niat mereka ketika itu adalah atas ketidakadilan yang berlaku terhadap Anwar dan keluarga.

Itu, katanya, merupakan lambang kerosakan yang ada dalam kalangan masyarakat di era pemerintahan perdana menteri terdahulu.

Justeru, kata beliau, tidak mustahil ramai dalam kalangan mereka yang memegang jawatan menteri dan mentadbir kerajaan masih keliru.. – MalaysiaGazette