GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua lelaki Myanmar selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri di kawasan sangkar ikan negeri ini semalam.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, perkara itu dikesan pihaknya ketika melakukan rondaan rutin dan pemeriksaan dalam Op Pertiwi di kedudukan 1.5 batu nautika selatan Pulau Aman pada jam 1.45 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati, masing-masing suspek berusia 20 dan 30 tahun itu sedang melakukan kerja-kerja di atas sangkar ikan berkenan gagal mengemukakan passport dan permit kerja yang sah.
“Mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di dalam negara tanpa memiliki pas yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha atau individu yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim negara. – MalaysiaGazette