Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Setiausaha sulit Hannah Yeoh tampil mempertahankan Menteri Belia dan Sukan itu yang didakwa terbabit dengan gerakan Kristianisasi.

Nor Miswary Ramli yang berkerja dengan Ahli Parlimen Segambut itu sejak tahun 2012 berkata, bosnya tidak pernah mempengaruhi beliau untuk menukar agama.

“Sebagai anak Kedah yang boleh dikatakan mendapat pendidikan agama yang mencukupi, saya boleh berbangga untuk menyebutnya di sini betapa Hannah sangat mementingkan nilai toleransi dan akhlak yang baik.

“Nilai-nilai yang baik yang kami pelihara dan tonjolkan melangkaui politik dan kepartian.

“Sepanjang bekerja dengan beliau, tidak pernah sekali pun beliau berdakwah atau ada kecenderungan mempengaruhi saya kepada agamanya.

“Beliau menghormati agama Islam – agama yang saya yakini sejak saya lahir – dalam setiap tindakan dan tingkah laku sehariannya,” kata Nor Miswary dalam kenyataan di Facebook.

Nor Miswary Ramli menunjukkan laporan polis yang dibuat.

Beliau berkata, Hannah telah banyak kali difitnah dan dituduh dengan pelbagai gelaran yang keterlaluan berkaitan tugas sebagai Menteri di Kementerian Belia dan Sukan.

“Paling memalukan, tukang fitnah tersebut adalah mereka yang mengakui beragama Islam dan orang Melayu dari parti yang kononnya memperjuangkan bangsa dan mendakwa parti mereka berlandaskan agama,” katanya.

Tambah Nor Miswary, walaupun Hannah kelihatan kuat menghadapi tohmahan namun kadang-kadang ia memberi kesan terhadap pemimpin DAP tersebut.

“Saya akui, saya tidak terkecuali turut rasa terkesan melihat beliau difitnah begini.

“Derita fitnah demi fitnah berterusan tanpa berkesudahan seperti ini, tidak ada jiwa yang mampu menanggungnya – tidak terkecuali wanita anak dua ini,” katanya.

Nor Miswary semalam tampil membuat laporan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya berkaitan dakwaan yang dibuat Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan terhadap Hannah.

Mohamad Kamal Mohamed mendakwa Hannah menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk menafikan hak negeri itu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

“Saya mempertahankan Hannah bukan kerana saya mahu melawan tukang fitnah yang datang dari parti Pas tetapi saya mempertahankan Hannah kerana beliau berhak dipertahankan,” kata beliau.

Sebelum ini, sebuah syarikat yang mendapat dana daripada KBS, Impact Integrated membuat program ‘Jom ke Gereja’ yang melibatkan belia.

Bagaimanapun program berkenaan mendapat reaksi negatif termasuk daripada Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor yang melarang belia Islam daripada terlibat.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast