SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yakin dapat mempertahankan negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Malah beliau juga percaya Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, akan mendapat majoriti lebih besar dari sebelumnya.
“Saya yakin dan percaya ini berdasarkan rekod kita dan ditambah pula dengan hasil yang tercerna di dasar peringkat persekutuan.
“Saya percaya rakyat tidak bodoh tapi kita sebagai tunjang kepada Kerajaan Perpaduan, mahu di akar umbi turut turun menjelaskan perkara ini kepada rakyat. Kita jangan ikut sentimen kebencian.
“Kalau kita dapat sampaikan usaha dan pandangan kita ini dengan lebih betul ke peringkat bawah dan disampaikan dengan konsisten tanpa rasa takut, tidak mustahil kita boleh rampas Kedah,” katanya pada sesi penggulungan sempena Kongres Nasional Khas 2023 di sini hari ini.
Menurut Amirudin, jika akar umbi menjelaskan visi dan pandangan yang betul dengan lurus, bukan setakat boleh rampas Kedah malah PH mampu memberi saingan besar di Kelantan dan Terengganu.
“Cumanya, kita sebagai anggota dan ahli kena bersedia dengan displin untuk menerima arahan, dipatuhi dan difahami yang kadangkala tidak boleh memuaskan hati kita sepenuhnya,
“Tetapi pimpinan berfikir, berbincang mencari ruang yang sedia ada dalam kesibukan pentadbiran untuk diselaraskan dan bawa konotasi yang penting supaya kejayaan dapat diteruskan,” katanya. – MalaysiaGazette