Anwar Ibrahim

SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Pakatan Harapan (PH) akan beroleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Kata Pengerusi PH yang juga Presiden PKR itu, partinya akan lawan habis-habisan berdasarkan prinsip untuk menarik sokongan rakyat supaya memberi kemenangan kepada PH.

Beliau turut mempersoalkan slogan perjuangan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa sebagai pejuang Melayu tulen.

“Mereka (PN) dakwa pejuang Melayu tulen tapi ambil duit rakyat masukkan dalam akaun parti. Ini bukan pejuang Melayu tulen.

“PH tidak mahu cakap besar dan mendabik dada. Apabila kita diberi mandate mentadbir Kerajaan Perpaduan, kita usaha cari duit untuk bantu dan kongsikan dengan rakyat.

“Soal PRN ini, kita akan lawan mereka berdasarkan prinsip ini dan insya-Allah kita akan menang. Kita akan guna segala kuasa kita untuk jaga kepentingan rakyat termasuk melibatkan kerjasama semua Menteri,” katanya dalam Ucapan Dasar Kongres Nasional Khas 2023 di Stadium Malawati di sini hari ini.

Kongres sehari itu bertemakan Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme.

Menurut Anwar, beliau tidak mahu Malaysia yang terkenal dengan menara berkembar, jambatan mega sedangkan rumah dan sekolah daif, manakala rakyat miskin pula majoritinya Melayu.

Katanya, selama empat bulan sebagai Perdana Menteri, beliau bersabar dengan cemuhan dan kecaman pembangkang kerana memikirkan kedudukannya dalam kerajaan.

“Ini gelanggang saya. Empat bulan saya bersabar, bicara cara teratur. Hari ini saya bicara sebagai Presiden PKR, Gerakan reformasi.

“Kita laluan babak perjuangan dengan penuh liku dan getir tetapi kita mempunyai idealisme yang perlu digilap. Tanpa digilap, akan mudah pudar.

“Kilauan kuasa ini memang memukau tarikan kesenangan, kewemawan dan harta, menyebabkan ramai kecundang,” ujarnya.

Beliau turut mengulas keputusan Pas untuk memilih haluan sendiri selepas meninggalkan Pakatan Rakyat (PR).

Namun beliau mengucapkan terima kasih kepada DAP yang kekal sebagai sahabat setia sampai sekarang, kemudian serpihan daripada Pas yang secara konsisten memahami semangat perjuangan ini untuk kekal dalam wadah baru Parti Amanah Negara (Amanah). – MalaysiaGazette