Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat di Stadium Melawati, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 MAC 2023.

SHAH ALAM – Kongres Khas yang berlangsung hari ini cukup berbeza dari siri sebelumnya, kata Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, perbezaan itu tatkala sebelum ini PKR dan Pakatan Harapan (PH) khususnya dihidangkan dengan pelbagai ujian, cabaran dan dikhianati.

Bagaimanapun, kata beliau, akhirnya bukan sahaja PH sekali lagi berpeluang berada di tampuk pentadbiran Putrajaya bahkan lebih manis lagi sosok yang didokong iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menjawat Perdana Menteri ke-10.

“Tentunya ujian dan cabaran ini tidak akan pernah berakhir namun dengan segala yang telah dilalui sepanjang 25 tahun Keadilan, pastinya memiliki kematangan dalam meniti ranjau perjuangan.

“Parti Keadilan cukup beruntung tatkala terakam dalam sejarah parti pelbagai individu datang dan pergi namun parti kita terus mempunyai pendokong yang kekal setia menggerakkan arus reformasi.

“Ini meletakkan kita berjaya masuk ke segenap bandar dan desa, kampung dan pendalaman serta mendapat sokongan dari pelbagai kaum, etnik, peringkat umur mahupun aktivis,” katanya dalam ucapan aluan sempena Kongres Nasional Khas 2023 Keadilan di Stadium Malawati di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, inilah reformis sejati yang akan terus menyemarakkan obor perjuangan Keadilan.

Kata Saifuddin, Keadilan kita sedang melalui suatu anjakan fasa perjuangan di mana presidennya sedang memimpin Kerajaan Perpaduan iaitu selari dengan tema Kongres Khas Keadilan, Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme.

Ujarnya, tema itu juga menuntut parti untuk menginsafi bahawa kuasa yang Allah hadirkan perlu melakukan perubahan sedaya upaya.

Jelasnya lagi, kepimpinan ketika ini memikul satu tanggungjawab besar kepada rakyat dan negara, yang memerlukan garapan segala kekuatan dan kelebihan untuk terus melangkah sederap dengan suatu ketumbukan yang padu bagi.

“Kita perlu mara ke hadapan sebagai ejen perubahan yang menyumbang kepada sebuah Malaysia Madani yang kita impikan,” katanya. – MalaysiaGazette