Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad (tengah) menunjukkan paparan skrin memaparkan keputusan terkini tidak rasmi bagi calon yang bertanding dalam Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia 2023-2026 di Menara Dato’Onn, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan memberi bayangan, ketiga-tiga jawatan Naib Presiden yang dipertandingkan dalam Pemilihan UMNO 2023 sudah mempunyai pemenangnya dengan dua muka baharu dan seorang muka lama.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, ini kerana keputusan muktamad belum diperolehi pihaknya susulan empat Bahagian masih belum menghantar jumlah undiannya.

“Datuk Seri Wan Ahmad Rosdy Wan Ismail memperolehi 124 undi dan tertinggi, boleh dirumuskan bahawa Menteri Besar Pahang ini mengambil tempat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, Ahli Parlimen Kota Tinggi yang juga Menteri Pendidikan Tinggi memperoleh 114 undi.

“Seorang muka baharu iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dia Ahli Parlimen Titiwangsa dan juga pengerusi kepada Kelab Penyokong Kerajaan Madani dengan kedudukan 107 undi,” katanya pada sidang media di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Shahrir Abdul Samad bercakap pada sidang media mengenai keputusan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia 2023-2026 di Menara Dato’Onn, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2023.

Tambahnya, keputusan undian dari empat UMNO Bahagian itu tidak boleh mengubah keputusan yang kini sudah mencapai kira-kira 98 peratus setakat ini.

“Datuk Seri Azalina Othman, di mana kedudukan nombor empat dengan nombor tiga jauh, dan tidak akan berubah daripada keputusan yang bakal datang dari empat Bahagian,” katanya.

Selain jawatan tiga Naib Presiden UMNO, beliau juga memberi bayangan jawatan Pengerusi Tetap yang dimenangi Tan Sri Haji Badruddin Amiruldin dengan 174 undi.

“Tan Sri Badruddin mendapat 174 undi, maknanya takkan ada perubahan, kedudukan dia tegap pasal nombor dua hanya dapat sembilan undi sahaja.

“Begitu juga jawatan Timbalan Pengerusi Tetap dimenangi Datuk Seri Abdul Fatah Abdullah, pengerusi Angkasa ini dapat 125 undi dan nombor dua hanya data 25 undi.

“Kalau tinggal empat bahagian lagi undi nak datang, memang tidak akan ubah kedudukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette