KOTA BHARU – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberi keutamaan kepada negeri-negeri yang menawarkan tanah di lokasi strategik secara percuma atau mengenakan premium nominal untuk melaksanakan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, langkah itu diambil supaya kerajaan dapat mengoptimumkan peruntukan untuk membina rumah dan bukan membayar kos tanah.
“Kerajaan Persekutuan dan KPKT selalu berlaku adil, mana-mana negeri yang sanggup menawarkan tanah percuma atau kutip premium tanah nominal akan diberi keutamaan kerana kita nak optimumkan peruntukan untuk bina rumah bukan bayar kos tanah.
“Ini kerana mengikut pengalaman dahulu, 30 hingga 35 peratus kos PPR hanya untuk bayar premium kos tanah maka kualiti rumah dibina kurang sikit.
“Kerana itu kita mengalu-alukan mana-mana kerajaan negeri yang sanggup berikan tanah percuma akan diberikan keutamaan, saya harap Kelantan juga akan menunjukkan komitmen bersama kerajaan Persekutuan untuk menjayakan misi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pasar Tok Kenali di Binjai yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nga berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM387 juta untuk program perumahan rakyat tahun ini.
“Kita amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana selain RM387 juta ada lagi RM385 juta diperuntukkan untuk rumah mesra rakyat ini menjadikan lebih RM700 juta peruntukan untuk program perumahan tahun ini.
“Kita akan giatkan supaya impian KPKT satu keluarga satu rumah dicapai,” katanya. – BERNAMA